Thursday, March 26, 2009

Andainya UMNO hilang kuasa di Pusat…

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Perebutan jawatan dalam UMNO setiap kali pemilihan adalah perkara biasa. Dalam aspek kewartawanan, perebutan jawatan dalam UMNO tiada nilai berita. Berita perihal UMNO hanya ada nilainya jika tidak berlaku perebutan jawatan.
Mengapa orang berebut jawatan dalam UMNO?
“Saya menawarkan diri untuk bertanding bukan untuk kepentingan peribadi tetapi untuk menyumbangkan khidmat bakti kepada UMNO yang perlukan perubahan sekarang ini.” Ayat seperti itu juga boleh ditulis terlebih dahulu dalam buku nota wartawan sebelum soalan diajukan kepada tuan punya badan yang mahu merebut jawatan. Dah tahu pun jawapannya.
Tiada seorang pun akan menjawab, “Saya bertanding demi untuk mendapat kedudukan dan dengan memperalatkan kedudukan atau kuasa tersebut, saya boleh menjana kekayaan yang melimpah ruah untuk diri saya, keluarga dan kroni.”
Tapi hakikatnya, itulah tujuan ahli-ahli UMNO di semua peringkat bertanding merebut jawatan. Di peringkat cawangan berebut jadi ketua. Jika menang dapat jadi JKKK atau JKKP. Selain elaun bulanan yang agak lumayan, JKKK bagi negeri yang dikuasai BN mempunyai ‘kuasa’ yang agak besar. Dia boleh jerkah pegawai daerah untuk menyalurkan projek pembangunan dalam kampung ikut cita rasanya. Sebab itulah dalam kampung terdapat projek mini tar sekerat-sekerat. Rumah orang UMNO ada, rumah orang PAS tiada.
Penghulu dan pegawai daerah tidak mampu melawan arahan JKKK kerana menghadapi risiko tindakan politik oleh tokoh UMNO yang lebih atas, iaitu Ketua Bahagian yang mungkin pegang apa-apa potfolio penting alam kerajaan negeri. JKKK juga boleh terus buat laporan kepada Menteri Besar selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.
Program ceramah politik yang telah dikeluarkan permit oleh Ketua Polis Daerah (OCPD) boleh ditarik balik di saat akhir, jika JKKK membantah. Besar sungguh kuasa JKKK.
Itu baru kuasa ketua UMNO cawangan. Belum lagi Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri. Habuan duniawinya lebih besar. Jawatan politik dalam kerajaan negeri, kerajaan tempatan, GLC dan peluang terhadap projek-projek kerajaan begitu licin laluannya.
Di Pusat pula apatah lagi hebatnya. Amat besar laba duniawi untuk dibolot. Kekayaan boleh diraup melalui saluran formal, guna proksi atau secara luar tabii.
Malaysia sebuah negara yang kaya raya. Rezeki melimpah ruah. Tapi kekayaan negara tiris dengan teruk kepada para penyamun yang bertakhta di persada kuasa.
Kita pernah dengar cerita di sebuah negeri Antah Berantah perihal seorang ketua kerajaan negeri yang kononnya tidak pernah mengambil gaji barang satu sen sewaktu mentadbir negeri. Tapi di belakang tabir ramai yang tahu bahawa, setiap projek Pusat atau negeri yang lalu sahaja di negeri Antah Berantah itu, maka komisyen sekurang-kurang 5 persen wajib masuk ke kantung beliau.
Antara kesukaran pembangkang untuk mengalahkan BN dalam pilihanraya ialah kerana mereka terlalu banyak duit. Duit ditabur dalam pilihanraya umum atau kecil macam daun getah yang luruh di musim kemarau.
Kesimpulan separuh masak yang boleh dibuat ialah; dengan kuasa orang UMNO boleh kumpul duit sebanyak-banyaknya dan dengan duit yang banyak mereka boleh terus berkuasa.
Bagaimana pula jika UMNO hilang kuasa di Pusat? Telahan pertama, tentulah ramai pemimpin UMNO akan jadi sasau. Hilang kuasa bererti hilang sumber kemewahan. Hilang kerajaan negeri bagi mereka sudah cukup perit untuk dirasakan, inikan pula Pusat. Tumbang di Pusat bermakna mereka adalah pembangkang. Pihak polis dan media akan melayan mereka sebagai pembangkang. Tiada peluang lagi untuk menyalahgunakan kuasa, menjana kemewahan. Orang yang biasa hidup mewah masakan mampu bertahan di waktu susah. Sejarah menunjukkan tokoh-tokoh UMNO yang pernah menjadi pembangkang akhirnya kembali ke pangkuan UMNO, lantaran tidak tahan dengan ujian kesusahan. Tengku Razaleigh, Rais Yatim, Rahmah Osman, Marina Yusof, Zainol Abidin Johari, Zainol Abidin Zin, Ruslan Kasim, Ezam Md Noor, Abdul Ghani Haron – adalah antara mereka yang sanggup menjilat ludah kembali menyertai UMNO.
Telahan kedua, secara teorinya bila UMNO tumbang di Pusat, ramai tokoh-tokoh UMNO akan menyeberang ke parti kerajaan. Tidak kira menuju PAS atau PKR. Mereka berada dalam UMNO kerana mahu hidup senang. Bila UMNO jadikan mereka susah, lebih baik tinggalkan saja.
Telahan ketiga, parti UMNO itu sendiri akan hilang kekuatan. Macam runtuhan glasiar. Cair, runtuh dan lenyap perlahan-lahan. UMNO terus mati dan tidak akan bertunas lagi.
Berasaskan andaian inilah timbul hujah bahawa menjatuhkan UMNO di Pusat itu lebih utama dari memikirkan kemantapan kerajaan baru yang menjadi alternatif.
“Tidak perlulah tunggu kemenangan itu masak dulu…takut ia jadi hangit pula,” ujar seorang pengulas politik. Semacam menyindir tulisan saya yang lalu, mengenai kisah memetik kemenangan yang belum masak. “Dalam politik, kita tidak boleh mengumpulkan semua musuh dalam satu masa untuk dikalahkan. Kalahkan UMNO dulu,” hujahnya penuh makna.

1 comment:

  1. Alamat amno akan di kafankan...mesyorat bawah pokok pula lee..hidup bukan selalu senang bebbb..

    ReplyDelete

Peta DUN Bukit Selambau

Peta DUN Bukit Selambau

kunjungan