Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
Rata-rata penduduk yang ditemui Wartawan Warta Darul Aman menganggap bahawa senario politik pada hari ini amat berbeza berbanding dahulu, terutama di N25 Bukit Selambau. Mereka berharap calon yang akan memegang jawatan sebagai wakil rakyat N25 Bukit Selambau mestilah seorang yang boleh menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin dan sanggup membantu rakyat yang menghadapi masalah terutama dalam menjaga kebajikan rakyat.
Seorang penduduk Kampung Perak, Bukit Selambau, Idris Hassan, 48 tahun berkata, suasana politik sekarang banyak berbeza dan masyarakat pada hari ini dilihat memihak kepada Pakatan Rakyat. Apa yang dapat dilihat ialah pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak jauh berbeza berbanding dahulu dan nampak ke arah kebajikan.
Masalah rakyat juga diambil perhatian dan cukai tanah juga diturunkan di mana secara tidak langsung, ia mampu meringankan beban rakyat dan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap kebajikan rakyat.
Beliau berharap Kerajaan Negeri dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kebajikan rakyat agar kehidupan rakyat di negeri ini terjamin dan pembangunan insan perlu diseimbangkan agar rakyat mampu hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
Bagi calon yang berjaya memegang jawatan sebagai wakil rakyat N25 Bukit Selambau perlulah mempunyai wawasan dan boleh bekerjasama dengan Kerajaan Negeri di samping benar-benar boleh membantu rakyat tanpa mengira bangsa.
Seorang pesara tentera dari Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, Thangavalu a/l Vairamuthu, 55 tahun berkata, beliau melihat Kerajaan Negeri yang baru ini amat bagus kerana mengamalkan corak pemerintahan ke arah menjaga kebajikan rakyat bertepatan dengan moto ‘Kedah Sejahtera’.
Beliau meminta agar Kerajaan Negeri yang baru ini dapat memastikan rakyat dibela dengan sewajarnya dan kesejahteraan yang dikecapi pada hari ini dapat dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya.
Kesejahteraan dan kestabilan negeri perlu dijaga dan dikekalkan agar negeri Kedah mampu menjadi sebuah negeri yang aman dan maju agar setanding dengan negeri-negeri lain.
Seorang pesara polis dari Kampung Haji Ismail, Bukit Selambau, Mohd. Nasrul Endut, 58tahun berkata, dahulu penduduk Bukit Selambau tidak pandai bermain politik tetapi sekarang, pemikiran mereka sudah terbuka.
Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak merupakan seorang pemimpin yang agak terbuka kepada semua bangsa dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.
Bagi calon yang akan memegang tanggungjawab sebagai wakil rakyat N25 Bukit Selambau mestilah seorang yang ada kelulusan, amanah dan bertanggungjawab, sanggup turun padang bertemu rakyat serta boleh membawa perubahan di Bukit Selambau.
Seorang penduduk Pekan Bukit Selambau, Lim Choo Mong, 54 tahun berkata, masyarakat Cina di kawasan Bukit Selambau menerima baik Kerajaan Negeri yang baru di bawah pimpinan Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak agar terus memimpin negeri ini. Beliau meminta agar Kerajaan Negeri memberi perhatian yang sewajarnya kepada masyarakat Cina di N25 Bukit Selambau terutama kepada golongan yang kurang berkemampuan agar kehidupan mereka terbela.
Pembelaan itu amat wajar kerana secara tidak langsung ia mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri yang baru ini agar setiap pembangunan yang dijalankan itu mampu dinikmati oleh rakyat.
Penghulu Mukim Teloi Kiri, Encik Ahmad Shauki Shaari, 31 tahun berpendapat masyarakat hari ini sudah tahu menilai dan berlandaskan pada pendapat masing-masing di mana penerimaan masyarakat amat tinggi.
Bagi calon yang akan memegang jawatan sebagai wakil rakyat N25 Bukit Selambau mestilah seorang yang boleh membangunkan kawasan yang diwakilinya, bukan sekadar mengejar kedudukan yang boleh merugikan masyarakat, boleh melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, hak rakyat mesti didengar, prihatin terhadap nasib rakyat serta mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Beliau berharap Pekan Bukit Selambau terus mendapat perhatian Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar agar kawasan ini tidak ketinggalan jauh daripada kawasan-kawasan lain.